Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah . Syukur kpd Allah SWT , DIA masih izinkan saya dan semua
shbt2 semua untuk berteduh di bawah bumbung langitnya . Bersyukur juga
atas nikmat Islam dan iman yg kita masih kecapi dalam kehidupan kita
ini.
Topik yg akan kita bincang pada hari ini ialah ' InDaHnYa sebuah Senyuman '
Kita akan bincang mengenai bagaimana Rasulullah SAW senyum dan
bagaimana baginda mengaplikasikan keindahan senyuman dan kehidupan
baginda SAW . Dan sebahagian perkongsian ini adalah petikan dari majalah
IluvIslam.
Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan
ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak
kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman
Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya,
banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah
tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.
1. Banyak Tersenyum
Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai
sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat
adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara
sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman
Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar, “Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)
Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,
“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan
bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau
berkata, “Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab
dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda.
Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi
rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka
berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang
tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan
siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”
2 . Senyum Kepada Sesiapa Sahaja
Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan
senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah
direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata: “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah
SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda:
Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika
orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah
dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu
sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah,
ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan
begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya
dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah
bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”
Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini
dilihat dari sudut adab dan ilmu”. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri
Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut
Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam
terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah
menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang
terhadap umatnya.
Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat
kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah
berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak
disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru
perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa
umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak
disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan
Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah
sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu
kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan
senyuman kepada orang ramai.
3.Bertegas Bila Perlu
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah
kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan
Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan
Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum
Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman
pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut
syarat ditetapkan).
Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani
berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah
disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah.
Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta
pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?”
Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:
“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum
kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri,
mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di
antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya.
Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan
memotong tangannya”.
Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman
dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai
hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah
mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang
dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan
perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan. Amalkan dan sebarkan
SenyuMan
- #CopyPaste Usrah InDaHnYa berPurdah -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment