Monday, 15 August 2016

Mari Bertaubat ^_^

Assalamualaikum W.B.T dan selamat malam sahabat-sahabatku.. Apa khabar kalian ? Moga sihat-sihat belaka dan dalam keadaan yang baik-baik sahaja :) Sebelum saya meneruskan topik kali ini iaitu " TAUBAT " , saya nak bertanya, apakah itu taubat sebenarnya? 

PENGERTIAN TAUBAT

Taubat atau dalam Bahasa Arabnya juga  تَوْبَة  (taubah) berasal dari perkataan تَوَبَ  (tawaba) yang dari segi bahasa bermaksud kembali. Seseorang itu dikatakan تابَ  (taaba – telah bertaubat) sekiranya dia telah kembali dari melakukan dosa atau telah meninggalkan dosa itu. 

 Adapun dari sudut istilah, apabila dikatakan seseorang itu telah bertaubat maksudnya dia telah kembali dari melakukan maksiat atau dosa terhadap Allah untuk dia mentaati Allah. Jadi jelas kaitan di antara maksud taubat menurut bahasa dan juga istilah Syaraknya.
 
PERINTAH BERTAUBAT

Adapun tentang bagaimana perintah Syarak kepada kita sebagai manusia untuk bertaubat, hal ini memang jelas dan banyak disebutkan dalam nas-nas Al-Quran dan juga Sunnah. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.” (Surah Al-Nur, 24: 31)

Dalam Surah Al-Zumar ayat ke-53 Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

Dalam ayat ini Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya yang melampaui batas ke atas diri mereka; melampaui batas iaitu dengan melakukan dosa-dosa dan maksiat.
Juga firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat ke-135,

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Dan mereka (orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).” (Surah Ali Imran: 135)

Jika dalam ayat sebelum ini Allah memilih perkataan mereka yang ‘melampaui batas’, dalam ayat ini pula Allah mengatakan mereka yang telah ‘menzalimi diri mereka’. Mungkin kita tidak perasan; apakah maksud orang yang menzalimi diri mereka? Orang yang menzalimi diri mereka adalah orang yang melakukan dosa dan maksiat. Bagaimana dia menzalimi dirinya?

Dia menzalimi diri sendiri kadangkala tanpa kita sangka. Barangkali ketika melakukan perbuatan maksiat itu dia bersuka ria dan berseronok dengannya. Tetapi realitinya dia menzalimi diri sendiri kerana perbuatan itu menambahkan dosanya dan paling tidaknya di Akhirat nanti dia mendapat balasan buruk iaitu Api Neraka. Perbuatannya akhirnya membawa mudarat dan binasa kepada dirinya. Itu yang dimaksudkan menzalimi diri. - taubat menurut al-quran dan sunnah

Saya ingin berkongsi sedikit perkongsian dari penulisan seorang admin " TARBIAH SENTAP " iaitu ustaz adnin , "Kalau kita bertaubat, kemudian kita ulang dosa yang sama, kemudian bertaubat, kemudian ulang dosa semula, adakah Allah akan ampunkan kita?"

Sebelum saya jawab, saya nak beritahu, apakah erti taubat? 

Saya mahu menerangkan tentang taubat dari beberapa sudut. Saya minta agar kita betul-betul fahami dan hayati, serta merasakan bahawa betapa pengampunnya Allah!

1) Taubat maksudnya kita rasa bersalah dengan dosa, insaf dan memohon keampunan dari dosa-dosa serta berazam untuk tidak ulangi lagi kesilapan tersebut. Itulah 3 rukun taubat.RASA BERSALAH, MINTA AMPUN, dan BERAZAM TAK NAK ULANG DOSA KITA.

2) Tetapi sejauh mana kita ikhlas dalam taubat? Adakah kata-kata taubat kita itu hanyalah sekadar UCAPAN yang tidak menimbulkan walau sedikit rasa kesal dan insaf. KEIKHLASAN dalam bertaubat hanya di ketahui oleh Allah dan diri kita sendiri! Kalau betul kita ikhlas, perasaan insaf akan hadir!  Bukan sekadar tu, perasaan menyesal tu akhirnya menyebabkan kita usaha sedaya mungkin untuk tinggalkan dosa-dosa yang telah kita kesali. Kalau itu berlaku, maka itulah dia TAUBAT NASUHA.

3) Setelah kita taubat nasuha dengan sesungguh-sungguhnya, namun ATAS KELEMAHAN dan KECUAIAN kita, tak mustahil untuk kita gelincir dan jatuh sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Namun, andai kita IKHLAS pada taubat kita yang pertama, maka Allah akan ampunkan dosa kita yang awal, dan untuk dosa yang baru kita buat, kita perlu taubat sekali lagi. Kalau kita tewas lagi, maka taubat lagi. Begitulah pengampunnya Allah. Namun ikhlas ni bukan benda yang boleh di buat-buat dan BERLAKON!! 

4) Perlu di fahami, kita ni LEMAH dan HINA! Sometimes, kita terjatuh lagi dalam dosa yang sama setelah taubat. Jatuhnya kita pada dosa yang sama bukanlah bererti kita tidak ikhlas pada taubat kita yang sebelum ni.Tapi sebab lemahnya kita, kita terjatuh juga pada dosa yang sama walaupun sebelum ni kita telah insaf.

Jika benda macam ni terjadi (dah taubat, di sebabkan kelemahan, kita ulang balik, lepas tu taubat balik, lepas tu ulang balik bla bla bla….), maka, kita kena TAUBAT LAGI DAN LAGI setiap kali kita buat dosa. Jangan PUTUS ASA! Once kita putus asa, maknanya setan dah berjaya pengaruhi kita. Dan Allah takkan JEMU mengampunkan dosa kita walau betapa teruknya kita!

"Kita bukan sekadar kena taubat, tapi, MELAZIMI taubat…”

Bila buat salah, taubat. Kalau kita buat salah balik, taubat balik. Kalau buat lagi salah, taubat lagi. Sampai bila? Sampai mati! Jangan tangguh taubat. Kalau boleh, bila buat salah, terus taubat, mintak ampun sungguh-sungguh kat Allah.

Kalau kuali yang kita guna untuk masak, awal-awal kita masak, akan ada hitam kat bawah kuali tu. Kalau kita terus basuh, insyallah hilang. Tapi, kalau kita lambat basuh, lama-lama, hitam tu akan MELEKAT kat kuali tu, dan sangat susah untuk hilangkan!

Sekarang ni, kita rasa SUSAH untuk berubah dan tinggalkan maksiat, adalah kerana kita tak MELAZIMI TAUBAT. Kita tak habis-habis tangguh taubat. Sampai maksiat tu MELEKAT, dan sangat susah nak hilang.

“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah pada dirimu:”Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini….”
(Imam Ghazali)


”Orang yang terbaik ialah orang yang banyak di uji dengan dosa dan banyak bertaubat!”
(Ali b Abi Talib)


“Kamu perlu bertaubat dari dua dosa. Satu, dosa kamu yang lalu. Kedua, kamu perlu taubat kerana kamu menangguhkan taubat kamu…”
(Ibn Qayyim)


Wallahua'lam.

Moga Allah ampunkan kita semua!

-Ustaz Adnin-

Semoga perkongsian tentang TAUBAT ini dapat memberi kita 1001 ilmu dan keinsafan. Allah S.W.T amat menyayangi kita dan selagi kite hidup, selagi itu kite berpeluang untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Dia. Segala yang baik datang dari Allah, yang buruk dan kurang adalah dari saya sendiri. ^_^

No comments:

Post a Comment